Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan mengawal pencemaran serta memperbetul kualiti alam sekeliling dan dari aspek yang sering dikaitkan dengan alam sekitar iaitu pencemaran yang membawa kepada maksud apa-apa perubahan secara langsung dan tidak langsung terhadap sifat-sifat fizikal, haba dan kimia termasuk kesan biologikal terhadap alam sekeliling yang meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut dan untuk masalah ini, pelbagai punca telah dapat dikenal pasti yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Antara punca yang telah dapat dikenal pasti yang membawa kepada masalah pencemaran alam sekitar ini ialah masalah sikap individu dan organisasi yang tidak bertanggungjawab. Hal ini jelas kerana tiada kesedaran sivik dalam diri mereka untuk menjaga alam sekitar kerana bagi sesetengah individu, mereka akan sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata tanpa menghiraukan keadaan persekitaran dan mungkin mereka merasakan itu adalah perkara remeh apabila mencampakkan secebis tisu atau sisa makanan di tepi jalan. Walhal, jika direnungkan andai ada seratus orang pengguna yang bersikap sedemikian sudah semestinya jalan raya akan menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap. Manakala untuk organisasi seperti kilang yang menjalankan operasi pengeluaran yang melibatkan sisa toksik dalam penghasilan keluaran mereka, pada kebiasaannya kilang itu akan mengambil langkah mudah apabila membuang sisa toksik tersebut terus ke dalam laut dan sungai jika kilang itu didirikan berdekatan dengan kawasan tersebut. Ini akan mengakibatkan pencemaran air dan kilang yang melepaskan asap tanpa pemasangan alat penapis udara akan menyebabkan terjadinya pencemaran udara. Hal ini berikutan sikap individu dan pemilik kilang yang tidak bertanggungjawab dan peka pada persekitaran sekeliling hasil dari pencemaran alam sekitar yang mereka cipta sendiri.
Selain itu, antara punca lain ialah pembangunan secara tidak sistematik. Apabila pihak kerajaan atau pihak swasta merancang untuk membangunkan sesuatu kawasan, mereka seharusnya memikirkan secara terperinci kesan-kesan negatif yang akan timbul terutama yang melibatkan alam sekitar dan bukan tertumpu kepada kebaikan dan keuntungan pembangunan semata-mata kerana akibat dari pembangunan yang akan dijalankan boleh menyebabkan berlakunya pencemaran air, udara, tanah dan bunyi yang akan dihasilkan. Mungkin disebabkan penggunaan jentera yang terlalu banyak akan menghasilkan pencemaran bunyi dan pencemaran udara jika jentera-jentera berteknologi tinggi tersebut mengeluarkan asap yang berlebihan. Akibat daripada projek-projek pembangunan itu, ia juga boleh terjadinya pencemaran air terutama pada waktu hujan jika tanah lapang yang telah dibersihkan untuk projek pembangunan itu iaitu tanah merah mengalir terus ke dalam sungai atau laut yang berdekatan . Hal ini boleh menjejaskan tahap kebersihan kualiti air dan boleh mengancam kehidupan ekosistem dalam air yang seterusnya membawa kepada pencemaran alam sekitar.
Di samping itu, penggunaan kenderaan bermotor seperti kereta, motosikal, lori dan kapal terbang juga merupakan salah satu dari penyumbang kepada berlakunya pencemaran alam sekitar seperti pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Hal ini kerana setiap kenderaan akan melepaskan asap kenderaan yang mengandungi gas yang berbahaya. Hal ini jika peningkatan taraf hidup masyarakat terus meningkat pada zaman sekarang maka tahap pencemaran juga akan turut meningkat berikutan semakin bertambah jumlah penggunaan bilangan pengguna jalan raya yang selesa menggunakan kenderaan mereka sendiri untuk bergerak ke destinasi yang ingin dituju berbanding beramai-ramai menggunakan kenderaan awam yang semestinya dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya. Hal ini akan menyebabkan pencemaran udara dan seterusnya menjejaskan sistem pernafasan dan daya penglihatan manusia serta pencemaran bunyi yang terhasil oleh kapal terbang yang berlepas atau mendarat terutama dikawasan perumahan yang berhampiran dengan lapangan terbang boleh menjejaskan daya pendengaran manusia. Hal ini jelas menerangkan bahawa penggunaan kenderaan bermotor juga menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran alam sekitar.
Antara punca lain penyebab berlakunya pencemaran alam sekitar ialah pembakaran secara terbuka. Hal ini jelas dapat dilihat berikutan pembakaran pokok-pokok tua di kawasan ladang dan hutan untuk tujuan penanaman semula. Jika dilihat dari satu sudut, penanaman semula sememangnya sangat baik tetapi akibat daripada pembakaran secara terbuka yang dilakukan oleh sesetengah pihak sebenarnya boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Di samping turut memusnahkan kehidupan flora dan fauna disekitarnya. Disebabkan pembakaran secara terbuka ini jugalah suhu bumi menjadi semakin meningkat dan keadaan cuaca di bumi semakin panas. Inilah sebenarnya akibat daripada pembakaran secara terbuka yang dijalankan yang akhirnya membawa kepada pencemaran alam sekitar serta sekali gus turut menjejaskan kehidupan dan kesihatan manusia.
Tambahan pula, kurangnya peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan juga menjadi salah satu punca terus berlakunya pencemaran alam sekitar pada masa ini. Pihak kerajaan seharusnya membuka mata dan lebih peka terhadap pembangunan yang dijalankan oleh semua pihak dengan mengambil kira masalah pencemaran yang bakal terjadi dari setiap projek pembangunan tersebut dan bukan hanya melihat kepada peningkatan taraf hidup masyarakat sahaja. Perkara ini sangat penting untuk membantu mengurangkan pencemaran udara, air, tanah dan bunyi, hasil daripada pembangunan pesat yang giat dijalankan dan tingkah laku sesetengah organisasi dan masyarakat yang kurang kesedaran sivik. Oleh disebabkan kerajaan kurang memainkan peranan dalam menilai aspek-aspek inilah yang menyebabkan masalah pencemaran berada ditahap yang semakin membimbangkan pada masa kini.
Punca-punca pencemaran yang telah dikenal pasti ini harus diambil langkah serius oleh semua pihak dan organisasi untuk mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar baik daripada pencemaran air, udara, tanah dan bunyi. Ia penting demi memastikan kehidupan dibumi ini terjamin dan terhindar dari masalah pencemaran yang semestinya membahayakan dan mengancam kesihatan serta kehidupan flora dan fauna untuk generasi akan datang yang lebih baik dan sihat serta bebas dari pencemaran alam sekitar.
Pencemaran alam sekitar telah memberi kesan yang buruk terhadap hidupan di dunia pada masa kini. Di antara kesan utama yang menimpa manusia akibat daripada pencemaran alam sekitar ialah terhadap udara, suhu persekitaran dan lain-lain. Pencemaran pada hari ini semakin berterusan dari semasa ke semasa. Sememangnya pencemaran alam sekitar memberi kesan buruk.
Pencemaran udara memberi kesan yang sangat buruk terhadap tumbuh-tumbuhan di dunia ini. Tumbuh-tumbuhan mengalami kerosakan dengan tiga cara iaitu Nekrosis(Keguguran daun), Klorosis (Pertukaran warna), dan perubahan pertumbuhan. Barli, kapas, gandum dan epal adalah antara tumbuhan yang mudah mengalami kerosakan dengan bahan cemar sulfur dioksida. Selain itu, tomato, kekacang, bayam dan kentang juga mengalami kerosakan dengan adanya gas ozon di udara. Keadaan ini menyebabkan bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk di bumi juga terganggu.
Seterusnya, bahan cemar juga menyebabkan haiwan-haiwan terancam dan terbunuh. Haiwan – haiwan akan kehilangan habitat kerana bahan tercemar telah memusnahkan tempat tinggal mereka .Maka,haiwan - haiwan terbunuh dan spesis-spesis yang istimewa juga akan menghadapi kepupusan. Bahan-bahan tercemar seperti sulfur dioksida yang terlepas ke udara oleh kenderaan akan menyebabkan penghadaman makanan haiwan terjejas. Hal ini menyebabkan haiwan-haiwan kehilangan nyawa kerana bahan – bahan toksid di udara ini telah diserap ke dalam tubuh badan haiwan tersebut. Sebagai contohnya, gajah,harimau,kuda-kuda,singa dan sebagainya.
Pencemaran udara juga menyebabkan penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorocarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairaan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini.
Seterusnya, pencemaran udara juga menyebabkan terbentuknya Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Hal ini berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat- tempat lain dan membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia.Hal ini membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air.Hal ini juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur.
Selain itu,kesan yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat dirasakan oleh seluruh penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat , persekitaranya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga adalah faktor utama kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal.Sebagai contohnya,kegiatan tsunami yang berlaku di Indonesia telah banyak mengorbankan nyawa manusia dan harta benda. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.
Pencemaran bunyi terhadap dunia pada masa kini termasuklah menggangu persekitaran dengan keadaan bunyi yang bising sehingga tahap yang melampau. Pencemaran bunyi akan menyebabkan keadaan persekitaran sangat bising dan menjadikan kehidupan manusia serta kehidupan lain terganggu. Haiwan juga berasa takut dan ingin berhijrah ke habitat baru yang lebih senyap dan nyaman. Hal ini akan menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.
Pencemaran bunyi menyebabkan kerosakan pada telinga manusia secara serta-merta dan juga secara kronik. Sekiranya telinga menerima bunyi yang kuat iaitu lebih daripada 120 dB, selaput tympanum di dalam telinga akan pecah serta kerosakan tulang kecil pada telinga dan ini menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Pendedahan berpanjangan kepada bunyi kuat iaitu lebih 85 dB dalam masa 8 jam sehari, ia akan merosakkan koklia dan menyebabkan pendengran menjadi tidak berkualiti dan kemungkinan juga akan menjadi pekak secara perlahan-lahan
Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar memang memberi kesan buruk kepada seluruh alam sekitar di bumi ini. Saya berharap pihak berwajib dapat memantau supaya pencemaran ini dapat dikurangkan supaya kehidupan di bumi ini lebih selesa.
Pencemaran tanah bermaksud perbuatan atau bencana semula jadi yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga kawasan tersebut telah bertukar warna , tidak subur atau berlakunya hakisan. Ia boleh di bahagikan kepada dua jenis iaitu dalam bentuk cecair atau pepejal. Kebanyakan bahan pencemar ini adalah terdiri daripada organik atau kimia. Tahap pecemaran adalah serius apabila sesuatu kawasan tanah telah bertukar warna , tidak subur serta tumbuh-tumbuhan dikawasan tersebut menjadi layu. Kebanyakkan tanah yang tercemar adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia itu sendiri. Sebagai contoh ialah perlombongan, penebangan hutan yang memyebabkan aliran tanah dari darat ke laut, pembuangan sampah-sarap, sisa toksik dan kumbahan yang tidak terkawal,dan tumpahan minyak dan pembuangan sisa nuklear ke dalam laut.
Sampah-sarap yang dibuang di kawasan-kawasan lapang akan
menjadi tempat pembiakan kuman penyakit. Tikus, lipas, lalat dan haiwan-haiwan
perosak yang lain akan tertumpu di kawasan tersebut dan menyebarkan kuman-kuman ke tempat-tempat lain. Makanan yang dihinggapi lalat atau dimakan lipas ,jika dimakan oleh manusia akan menyebabkan keracunan makanan dan seterusnya diserang penyakit yang serius. Sekiranya serius, akan membawa kematian kepada manusia atau munculnya penyakit baru yang bahaya seperti H1N1 dan SARS yang mudah berjangkit.
Satu lagi kesan pencemaran tanah ini adalah hakisan. Hakisan tanah adalah salah satu fenomena yang sangat sering berlaku di seluruh dunia. Ia bukan sahaja merugikan dari sudut kewangan dan ekonomi bahkan juga mengancam keselamatan dan nyawa manusia, misalnya tanah runtuh dan juga gempa bumi. Terdapat banyak negara-negara yang sedang diancam hakisan tanah. Contohnya negara Jepun yang sering berlaku gempa bumi akibatnya ramai manusia kehilangan harta benda.. Antara aktiviti-aktiviti manusia yang boleh menyebabkan hakisan adalah pembersihan dan pembajakan serum bukit yang menyebabkan tiada tumbuhan yang dapat menahan tanah daripada dialirkan bersama-sama dengan air apabila hujan lebat. Selain itu, pembinaan rumah-rumah di tengah bukit juga akan menyebabkan tanah runtuh apabila berlaku hujan kilat. Nyawa manusia yang tinggal di tengah-tengah bukit dan di kaki bukit akan tergugat.
Kesan daripada pencemaran tanah ini kepada dunia sangat ketara seperti pencemaran-pencemaran lain juga. Ianya juga memberi kesan yang cukup buruk terhadap kesihatan manusia dan hidupan-hidupan lain. Pembuangan sampah-sarap, sisa toksik dan nulear akan menjadikan kawasan tanah beracun dan tidak sesuai untuk didiami oleh manusia dan haiwan. Contoh letupan loji nuklear di Chernobyl, Russia. Kesannya dapat dirasai sehingga ke Sweden, kerana 23 orang telah dilaporkan mati akibat daripada kesan radioaktif nuklear tersebut. Semua penduduk di sekitar tersebut telah dipindahkan ke tempat lain.
Pencemaran air berlaku apabila terdapat perubahan dari segi kandungan, keadaan, warna dan kualiti sehingga tidak sesuai untuk diguna dan akan memberi kesan kepada para pengguna apabila menggunakan air tersebut. Pencemaran berlaku sama ada dari segi biologi, kimia, dan fizikal. Pencemaran air bukan hanya berlaku di sungai sahaja,tetapi juga di laut,pantai, tasik kolam dan sebagainya sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Punca utama yang mengakibatkan pencemaran ini adalah daripada bahan pencemar dari kilang-kilang yang berdekatan. Keadaan atau tahap pencemaran sumber air boleh dinilai berdasarkan beberapa faktor yang mempengaruhi kualiti air tersebut iaitu oksigen terlarut, keperluan oksigen biokimia (BOD), zat terlarut dalam air, pH, dan suhu. Secara saintifik, pencemaran air boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu pencemaran fizikal, kimia, fisiologis dan biologi. Pencemaran fizikal ini ditentukan oleh perubahan warna, suhu dan kekeruhan sumber air tersebut. Punca yang biasanya menyebabkan pencemaran jenis ini ialah seperti pembuangan sampah. Manakala pencemaran kimia biasanya disebabkan oleh zat organik termasuk protein, karbohidrat, lemak dan bahan buangan industri yang mengandungi garam beracun serta tumpahan minyak di laut.
Kesan-kesan daripada pencemaran air ini menimbulkan pelbagai masalah kepada hidupan-hidupan di dunia pada masa kini termasuklah manusia sendiri. Bahan-bahan yang dibuang ke dalam sungai akan menyebabkan hidupan akuatik tersebut mati apabila memakan bahan beracun dari sumber air yang telah tercemar ini. Manusia juga akan mendapat penyakit yang serius jika mengambil sumber makanan hidupan air tersebut. Selain itu, manusia akan mendapat penyakit jika terminum air yang penuh bahan-bahan cemar seperti lumpur, pasir dan batu halus, karat besi, bahan buangan industri, logam berat, racun rumpai, bakteria, virus, dan haloform.
Pencemaran air juga menjadi masalah yang amat serius di negara dunia ketiga iaitu jutaan manusia mendapatkan air minuman dari kawasan yang dicemari dengan bahan buangan manusia sendiri. Pencemaran sebegini dikatakan menyebabkan lebih tiga juta kematian setiap tahun kerana cirit-birit, kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.
Selain itu pencemaran air juga menjadi punca kepada banjir yang berlaku di dunia pada masa kini. Banjir-banjir yang kerap berlaku disebabkan oleh tersumbatnya parit yang sepatutnya mengalirkan air ke laut. Disebabkan oleh pembuangan sampah-sarap ke dalam sungai yang menyebabkan sampah sarap menyumbatkan aliran air tersebut. Selain daripada itu air juga menjejaskan keindahan alam. Pantai-pantai yang dipenuhi dengan sampah-sarap dan air yang kotor menjengkelkan dan tidak indah untuk dipandang akibat daripada pembuangan sampah-sarap ke lautan. Sesetengah kilang akan memperuntukkan kawasan untuk pembuangan sisa-sisa kilang. Tetapi, apabila berlaku hujan lebat atau loji pecah, sisa-sisa ini akan terkeluar dan menyebabkan dua masalah iaitu, pertama ialah jika sisa ini mengalir di permukaan, maka ianya akan mengalir di dalam sistem saliran terutamanya parit dan sungai. Masalah kedua pula ialah sekiranya sisa ini mengalir ke dalam sistem bawah tanah yang akan menyebabkan sistem air bawah tanah tercemar.
Pelbagai langkah yang berkesan haruslah di ambil untuk mengatasi masalah-masalah pencemaran daripada berleluasa. Barulah generasi yang akan datang mempunyai persekitaran yang baik dan bebas daripada pelbagai pencemaran.
Pepatah Melayu ada mengatakan “tiada penyakit yang tiada penawarnya”. Usaha untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ini sepatutnya dimulakan daripada institusi keluarga. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting. Mereka sebagai orang terdekat kepada anak-anak sepatutnya mendidik mereka untuk menghargai dan mencintai alam sekitar sejak dari kecil lagi.
Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang isu-isu pencemaran alam sekitar yang terkini untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Mendidik sahaja tidak cukup, ibu bapa juga harus menjadi teladan kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat dan melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan udara. Dalam hal ini, sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak harus diamalkan oleh ibu bapa, iaitu mengajar anak menjaga kebersihan alam sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian. Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri menjadi teladan, maka anak-anak juga akan terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa. Dengan ini, nescaya pencemaran alam sekitar akan dapat diatasi.
Sekolah dapat diibaratkan sebagai rumah kedua kepada para pelajar. Oleh itu, pihak sekolah juga berperanan besar dalam usaha mengatasi pencemaran alam sekitar. Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah termasuklah mengadakan kem kesedaran untuk memupuk semangat cinta akan alam sekitar dalam kalangan para pelajar. Melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, pendidikan alam sekitar secara langsung dapat diberi kepada para pelajar. Contohnya, guru-guru boleh memberi tugas tertentu kepada pelajar seperti meminta mereka mencari artikel-artikel yang berkaitan dengan isu pencemaran alam sekitar dan menyuruh mereka membaca artikel tersebut di dalam kelas. Secara tidak langsung, mereka dapat disedarkan tentang kesan buruk yang dibawa oleh pencemaran alam sekitar. Dengan wujudnya kesedaran ini, barulah mereka akan mencurahkan usaha untuk menjaga alam sekitar ini. Semasa di sekolah, usaha ini juga boleh dilakukan melalui penubuhan Kelab Alam Sekitar. Tamsilnya, Kelab Alam Sekitar boleh mengadakan pelbagai program seperti ceramah dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah dengan tujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti alam sekitar secara intensif. Lantaran itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha pihak sekolah juga dapat membantu mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.
Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik juga merupakan salah satu langkah yang dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dengan efektif. Masyarakat perlulah mempraktikkan program 3R dalam kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai ‘Reduce, Reuse, Recycle’. ‘Reduce’ ialah usaha mengurangkan penggunaan bahan sumber yang terhad. Dalam erti kata lain, masyarakat haruslah berjimat cermat dalam menggunakan bahan sumber yang saban hari kian berkurangan seperti petroleum dan arang batu. ‘Reuse’ pula ialah usaha menggunakan semula bahan-bahan buangan secara terus atau mengubah fungsi bahan tersebut dengan mereka cipta barangan baru. Hal ini dilakukan untuk menjimatkan bahan sumber sekali gus mengurangkan sampah sarap yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Dalam pada itu, masyarakat perlu mempraktikkan amalan kitar semula iaitu mengguna semula bahan baru. Contohnya, masyarakat boleh menjual surat khabar dan majalah lama untuk dikitar semula. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan sampah malah dapat menjimatkan kos untuk pelupusan sampah. Bak kata pepatah, berjimat sebelum kena, ingat sebelum habis. Oleh itu, masyarakat haruslah sentiasa peka terhadap isu-isu pencemaran alam sekitar untuk mengelakkan pencemaran daripada menjadi semakin serius.
Dalam pada itu, statistik menunjukkan bahawa pencemaran alam sekitar kebanyakannya berpunca daripada pengeluaran asap ke udara dan sisa-sisa toksik ke dalam sungai. Menyedari kesan-kesan negatif yang dibawa oleh pencemaran alam ini, pihak berkuasa telah menguatkuasakan undang-undang untuk menangani masalah yang dibaratkan sebagai duri dalam daging negara yang sedang membangun. Dengan ini, kabinet telah memutuskan bahawa hukuman mandatori lima tahun penjara terhadap Ketua Pegawai Eksekutif dan presiden sesebuah syarikat yang melanggar undang-undang alam sekitar. Mereka akan diberi amaran terlebih dahulu dan surat yang berkaitan dengan larangan melepaskan asap hitam dan sisa toksik. Namun, jika keadaan mencurahkan air ke daun keladi berlaku, tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap mereka seperti yang diputuskan oleh kabinet. Pengusaha-pengusaha kilang haruslah menapis asap hitam dan menggunakan alternatif lain untuk menghapuskan sisa-sisa toksik kilang. Mereka tidak harus mengorbankan alam sekitar demi kesenangan diri. Jabatan Alam Sekitar berkuasa untuk mendakwa pihak yang mencemarkan alam sekitar dan disyaki menjejaskan kualiti alam sekitar. Dengan itu, diharapkan pencemaran alam sekitar dapat diatasi dengan penguatkuasaan akta dan undang-undang alam sekitar.
Kesimpulannya, masalah pencemaran alam sekitar di negara kita haruslah ditangani dengan segera dan usaha ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Alam sekitar telah dianugerahkan dan diamanahkan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah menjaganya dengan penuh tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini dibiarkan, kesannya akan memudaratkan manusia itu sendiri walaupun hidup dalam kemewahan. Adakah pemodenan negara lebih penting daripada keindahan alam sekitar? Adakah kita menginginkan kemewahan hidup semata-mata tanpa mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah selera. Dengan itu, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran memerlukan kerjasama, kesedaran dan keprihatinan daripada setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan kelstarian alam sekitar yang dianugerahkan kepada manusia.